SNB adalah alternatif kepada kaedah tradisional dalam pengurusan kanser payu dara yang kini diamalkan di seluruh dunia.

Sentinel bermaksud ‘pengawal’ kepada ketiak (axilla). Ia digambarkan sebagai nod limfa pertama yang diserang kanser sekiranya pesakit menghidap kanser payu dara. Oleh itu, dengan mengenal pasti nod limfa itu, pakar perubatan dapat menentukan sama ada kanser sudah merebak kepada nod limfa yang selebihnya.

SNB ialah teknik invasif yang melibatkan pembedahan kecil, teknik ini paling sesuai bagi pesakit yang menghidap kanser payu dara di peringkat awal dengan tumor bersaiz kurang daripada tiga sentimeter. Dimulakan dengan suntikan radioisotop di keliling payu dara, selepas satu tempoh, imbasan sinar-X limfosintigram pada payu dara dan ketiak dilakukan. Dengan menggunakan bantuan alat pengimbas gammaprobe tangan, nod sentinel dikenal pasti dan ditandakan. Selepas itu pesakit akan dibedah. Pembedahan tersebut melibatkan pemotongan pada kulit antara satu hingga dua sentimeter. Dengan bantuan pewarna biru, nod yang berwarna biru dan ‘panas’ dapat dikesan dengan lebih mudah.

Nod limfa yang dikeluarkan itu kemudiannya akan dihantar untuk melalui teknik kaji hayat khas. Jika bahagian itu tidak menunjukkan sebarang metastasis atau tumor metastatik pada nod sentinel itu, pembedahan lanjut pada bawah ketiak tidak perlu lagi dilakukan. Sekiranya hadir metastases pada nod itu, pembersihan ketiak (daripada nod limfa) peringkat I dan II akan dilakukan secara menyeluruh.

Secara ringkas, SNB mengelakkan pembedahan radikal yang tidak diperlukan pada bahagian ketiak terutamanya pada nod yang tidak dijangkiti kanser. Nod sentinel itu kemudiannya akan menjalani histopatologi penuh melalui pemeriksaan teknik kaji hayat terperinci untuk pengesahan. Keputusan palsu negatif dan positif dalam SNB ialah kurang daripada lima peratus, memungkinkan jawapan yang tepat untuk setiap pemeriksaan dan penilaian sebelum satu-satu pembedahan dilakukan.