Kita berbual dengan ramai orang setiap hari. Bila sampai musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, kita mungkin berbual dengan ratusan orang dalam sehari. Anda mungkin mahu nampak menonjol dan memikat pada waktu itu.
Kita kena bijak mengambil hati orang supaya mereka senang berada berhampiran dengan kita, menjadikan penampilan kita berbeza lalu nampak menonjol di mata mereka.
7 langkah bagaimana untuk mengambil hati orang lain ketika berbual-bual adalah:
1. Paling utama, kurangkan sekurang mungkin bercerita tentang diri kita. Elak untuk menceritakan apa saja hal berkaitan diri kita kerana boleh membawa kepada sikap riak, lagipun sukar kita nak mengambil hati orang lain bila kita asyik bercerita tentang diri kita.
Sebaliknya, tanya lebih banyak tentang diri orang lain, kehidupan mereka, kerjaya mereka.
Buka cerita dari satu hal ke hal yang lain berkaitan mereka, misalnya kisah cinta mereka, kisah pencapaian-pencapaian mereka, bagaimana mereka bekerja keras membina kesenangan hidup dan sejarah keluarga mereka.

2. Memuji seseorang dalam berbual-bual dah lama diketahui sebagai cara untuk kita mengambil hati dan menarik perhatian orang lain. Tapi, jangan terlalu memuji hingga ia bertukar menjadi seperti satu sindiran. Puji dia seadanya.
Puji dua atau tiga kali saja, jangan lebih daripada itu. Jika lebih, kita akan dilihat sebagai orang yang suka mempermainkan perasaan orang, mengejek-ejek dirinya dan pencapaiannya.

3. Pamerkan air muka bertenaga, santai dan manis. Banyakkan tersenyum dalam emosi ketenangan, jangan memandang mukanya dengan dahi berkerut seolah-olah kita sangsi dengan kata-katanya.
Elak berbual-bual dengan orang lain dengan air muka tegang, seolah-olah kita tertekan padahal kita tak le tertekan mana.
Niatkan yang kita mahu OK dengan orang tu.

4. Nikmati perbualan. Jangan bangkitkan topik perbualan pedas dan sensitif terutama topik berkaitan politik, bangsa, agama. Bincakan topik santai dan positif seperti cuaca, sukan, filem-filem terbaru, tokoh-tokoh dikagumi.
Kita datang dari latar belakang pendidikan berbeza dan melalui pengalaman berbeza. Jadikan sesi berbual-bual sebagai ruang untuk kita belajar sesuatu dari orang lain sebagai kegunaan untuk memperbaiki diri kita. Kita boleh belajar dari pengalaman orang lain.
Mungkin kita tak tahu. Ramai orang suka ditanya tentang pengalaman dilaluinya, sebab membuat dia bersemangat untuk bercerita.

5. Jujur pada dirinya, jujur pada diri Anda sendiri. Usah ego, usah takut dikritik, takut dikalahkan.
Jika Anda dibawa bercerita tentang perihal diri Anda, ceritakan seadanya. Jangan ada niat untuk menunjuk sebab ia menyebabkan orang lain kurang senang dengan kehadiran Anda.

6. Gunakan postur selesa. Jika berbual-bual secara duduk, elakkan terlalu membongkok ke depan. Cara paling baik, duduk berbual sambil menyandarkan bahu. Postur jenis ini membuat pernafasan lancar, membuat Anda menikmati perbualan dengan penuh keseronokan.
Elak menyilangkan kaki atau mengakat kaki di depan muka orang lain ketika sedang duduk di depannya.

7. Mulakan dengan Bismillah di dalam hati. Ketika mahu berbual-bual, baca Bismillah, niatkan berbual-bual sebagai untuk Anda merapatkan talian silaturrahim.
Hati yang disinari cahaya, kesannya akan terpamer di wajah Anda dan di tutur kata Anda. Sesiapa saja akan merasa ‘lain’ tiap kali berbual-bual dengan Anda.