LATAIF

SEPULUH LATIFAH INSAN:

1. QALB
2. RUH
3. SIRR
4. KHAFI
5. AKHFA
6. NAFS
7. ANGIN
8. AIR
9. API
10. TANAH

LATAIF adalah kata jamak bagi Latifah yang bererti kehalusan. Allah adalah bersifat Al-Latif iaitu Yang Maha Halus dan Dia telah mengurniakan KehalusanNya kepada sekelian Nur Muhammadiyah. Allah Subhanahu Wa Ta’ala menjadikan manusia dengan mengurniakannya sepuluh Lataif yang halus. Ianya boleh disifatkan sebagai anggota dalaman Ruhani bagi manusia atau pancaindera bagi Ruhani. Ianya diibaratkan sebagai juzuk-juzuk bagi diri Ruhani sepertimana otak, jantung, limpa, hati, paru-paru dan anggota dalaman bagi jasad tubuh badan Jasmani.

Perkembangan Tariqat dalam diri seseorang itu secara umumnya melibatkan kesedaran dalam turutan yang tertentu pada latifah-latifah yang menjadi pusat perhentian dalam pemerhatian perjalanan Ruhani dan ianya terdapat dalam dirisetiap manusia, amnya bagi sekelian Ummat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Setiap Latifah itu dikaitkan dengan Nabi- Nabi yang tertentu atau warna-warna yang tertentu atau anggota tubuh badan yang tertentu atau alam- alam yang tertentu atau Ma’rifat-Ma’rifat yang tertentu dan ianya berbeza di antara satu Tariqat dengan Tariqat yang lain. Perbezaan ini menunjukkan betapa luasnya Ilmu Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Tugas Para Masyaikh adalah untuk menghidupkan kesemua latifah-latifah tersebut pada diri Murid agar latifah-latifahnya dapat sentiasa berzikir Kehadhrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Menghidupkan kesemua latifah-latifah ini dengan Zikrullah adalah merupakan kegiatan sekelian Para Sufi. Setelah melalui proses ini, seseorang Salik itu dikatakan sebagai telah mencapai tingkat kesempurnaan Insan dan menjadi manusia yang sempurna. Seseorang yang menjalani Tariqat Tasawwuf adalah wajib menyucikan kesemua Lataifnya dengan ilmu dan zikir kerana kesemua latifah adalah bersifat Nur dan sesuatu yang bersifat Nur hanya boleh disucikan dengan sesuatu yang bersifat Nur juga……