Apa itu mengilhamkan khalayak?

Mengilhamkan khalayak bermaksud mendorong para pendengar untuk mengimpikan sesuatu yang lebih baik daripada yang sedia ada, serta membuat keputusan untuk mencapainya. Contoh yang biasa kita temui termasuk ucapan-ucapan motivasi yang mendorong pendengar ke arah pembangunan kendiri, mencapai kejayaan dalam kerjaya, mengambil peranan sebagai pemimpin atau mencapai matlamat penting lain dalam hidup.

Terdapat sedikit perbezaan di antara ucapan mengilhamkan dan ucapan memujuk:

– Ucapan memujuk mempunyai matlamat yang amat khusus;
penyampai menggunakan logik dan suntikan perasaan (lebih kurang sekata) untuk menunjukkan bahawa langkah yang disarankan adalah yang paling bijak.

– Ucapan mengilhamkan mempunyai matlamat yang lebih mujarad;
penyampai lebih banyak menggunakan suntikan perasaan berdasarkan impian dan nilai-nilai murni pendengar untuk membawa mereka kepada kesimpulan dan keputusan yang dikehendaki.

Cara menyampaikan ucapan untuk mengilhamkan khalayak

1. Pelbagai rangka boleh digunakan. Rangka di bawah adalah yang paling mudah:

a. Pembukaan ucapan yang menarik perhatian pendengar dan mengarah kepada perkara yang ingin dibincangkan

b. Memulakan isi ucapan dengan menyatakan dan menggambarkan keadaan idaman yang patut dicapai

c. Mendapat kepercayaan pendengar dengan memberitahu dan membuktikan kepada mereka bahawa anda memahami perasaan, sikap serta keraguan yang menyebabkan mereka terus berada di takuk lama. Anda mungkin perlu
menyelidik latar belakang para pendengar agar lebih arif tentang “keadaan” mereka. Manfaatkan latar belakang diri anda dan gunakan perkataan “kita”.

d. Menerangkan bahawa perasaan dan sikap ini adalah kurang baik dan mungkin membawa kepada kesudahan yang tidak diingini

e. Mendorong dan mencabar pendengar untuk mengambil terima perasaan, sikap, nilai dan tujuan yang lebih tinggi dan mulia, dengan menyebut faedah-faedah berbuat demikian

f. Dalam penutup, mencabar dan menuntut pendengar melibatkan diri dalam perjuangan ini, menekankan sekali lagi faedah berbuat demikian, sebelum mengakhiri dengan sesuatu yang mudah dikenang

2. Anda boleh menambah keberkesanan ucapan anda dengan menggunakan:

a. Kisah-kisah benar. Kisah mengenai insan-insan lain yang telah mengatasi kepayahan dan keperitan dan mencapai kejayaan dapat memberi kesan yang mendalam kepada pendengar. Namun, jangan menyelitkan terlalu banyak
cerita. Satu atau dua kisah benar yang dirujuk kerap adalah lebih berkesan. Adalah lebih baik lagi jika anda menceritakan pengalaman diri anda.

b. Petikan kata-kata orang yang terkenal atau pujangga

c. Perkataan-perkataan hidup yang membolehkan pendengar membayangkan kejayaan yang bakal dinikmati

d. Perkataan-perkataan untuk memberi dorongan, bukan kecaman

3. Keberkesanan ucapan mengilhamkan khalayak banyak bergantung kepada suntikan perasaan. Selain kandungan yang membangkitkan perasaan, anda perlu menunjukkan kepada pendengar bahawa anda ikhlas. Pilih tajuk yang benar-benar bermakna kepada anda. Gunakan bahasa tubuh dan kepelbagaian suara dengan sepenuhnya serta kemahiran berpidato yang lain.