Memberi Dorongan

 Apa itu memberi dorongan?

Dalam tugasan sebelum ini (no. 22), anda telah belajar menyampaikan ucapan untuk mengilhamkan khalayak. Ucapan tersebut merupakan contoh tulen untuk kumpulan “ucapan untuk mengilhamkan”. Tugasan kini juga adalah ucapan untuk mengilhamkan tetapi ia berbeza sedikit dengan tugasan sebelum ini. Tugasan kini melibatkan matlamat yang lebih khusus namun penyampai tetap perlu mengutamakan suntikan perasaan.

Yang berikut adalah contoh-contoh ucapan memberi dorongan:

– Pengetua sekolah memberi dorongan kepada murid-murid untuk tekun belajar menjelang peperiksaan

– Majikan memberi dorongan kepada para pekerja demi mencapai sasaran yang ditetapkan oleh syarikat

– Ketua parti politik memberi dorongan kepada anak-anak buah untuk membawa masuk lebih ramai ahli

– Ibu bapa memberi dorongan kepada anak-anak untuk mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh mereka

Cara menyampaikan ucapan untuk memberi dorongan

1. Anda boleh menggunakan rangka di bawah (sedikit berbeza berbanding rangka dalam tugasan no. 22):

a. Pembukaan ucapan yang menarik perhatian pendengar dan mengarah kepada perkara yang ingin dibincangkan. Bahagian ini perlu singkat.

b. Memulakan isi ucapan dengan menyatakan matlamat atau kehendak anda dengan jelas

c. Mendapat kepercayaan pendengar dengan memberitahu dan membuktikan kepada mereka bahawa anda memahami perasaan, sikap serta keraguan yang menyebabkan mereka mungkin tidak mahu mengambil tindakan. Anda perlu
mengambil sudut pandangan pendengar. Gunakan perkataan “kita” di mana sesuai untuk menunjukkan bahawa anda benar-benar menjiwai masalah mereka.

d. Menerangkan bahawa perasaan dan sikap ini adalah kurang baik dan mungkin membawa kepada kesudahan yang tidak diingini

e. Mendorong dan mencabar pendengar untuk mengambil terima perasaan, sikap, nilai dan tujuan yang lebih tinggi dan mulia (yang anda kehendaki), dengan menyebut faedah-faedah berbuat demikian. Jika anda mengehendaki pendengar untuk berusaha mencapai matlamat kumpulan, terangkan bagaimana kepentingan peribadi akan lebih terjaga apabila kepentingan kumpulan terjamin.

f. Dalam penutup, mencabar dan menuntut pendengar mengambil tindakan yang disarankan. Beri ganjaran tambahan jika bersesuaian. Contoh: Ganjaran kewangan untuk pekerja-pekerja syarikat yang berjaya mencapai sasaran.

2. Anda boleh menambah keberkesanan ucapan anda dengan menggunakan:

a. Kisah-kisah benar. Kisah mengenai insan-insan lain (ataupun diri anda) yang telah mengatasi masalah yang serupa dan mencapai kejayaan dapat memberi kesan yang mendalam kepada pendengar.

b. Petikan kata-kata orang yang terkenal atau pujangga

c. Perkataan-perkataan hidup yang membolehkan pendengar membayangkan kejayaan yang bakal dinikmati

d. Perkataan-perkataan untuk memberi dorongan, bukan kecaman

3. Keberkesanan ucapan memberi dorongan banyak bergantung kepada suntikan perasaan. Selain kandungan yang membangkitkan perasaan, anda perlu menunjukkan kepada pendengar bahawa anda ikhlas. Gunakan bahasa tubuh dan
kepelbagaian suara dengan sepenuhnya serta kemahiran berpidato yang lain.