Permintaan Kecil Seorang Bonda

Aku tidak meminta
wang berjuta-juta

untuk kuhimpunkan
menjadi bukit harta

tidak sesekali
kuimpikan

mengibarkan bendera
bangga di puncaknya

cukuplah sekadar
sesuap makan dan minum

buat aku sempat
melihat suatu hari lagi

bernama esok.

Aku tidak meminta
rumah yang raya

pun yang indah
laksana istana

kerana kemewahan
dunia hanya sementara

apabila sampai
waktunya pasti tinggal semua.

Cuma yang aku pinta

adalah secebis cinta

daripada seorang
anakanda yang berjaya

di tengah kota

untuk kuisikan di
dada tua

buat kuusir segala
kesunyian

yang semakin hari
semakin pekat terasa

dan menggelinjang ke
seluruh jiwa raga

bergetaran di urat
nadi yang terasa lelahnya.

Anakanda yang
kurindui sentiasa

sukarkah kau penuhi

permintaan kecil seorang
bonda

janji penuh nafsumu
tatkala remaja

untuk kutiti hingga
ke hujung usia

yang amat terkilan
aku nantikan

dalam remang senja?